Mengenai Kami

Pembinaan Masjid Baiturrahman Alam Sari telah mendapat kelulusan dari Jabatan Agama Islam Selangor pada 3 Januari 2020 (JAI.Sel.BPM/01/018/17). Masjid yang dianggarkan bernilai RM 30 juta akan dibina di tapak seluas 3.51 ekar yang telah disediakan oleh pemaju, I&P Group Sdn Bhd, iaitu sebuah anak syarikat SP Setia Berhad yg bernaung di bawah syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB). Masjid ini boleh menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa memandangkan kepadatan penduduk Alam Sari sendiri akan mencecah hampir 20,000 penduduk apabila kesemua fasa telah siap dan diduduki sepenuhnya.

Sesuai dengan rata-rata penduduknya yang hampir 100% beragama Islam, Masjid Baiturrahman ini bakal menjadi tempat tumpuan penduduk sekitar mahupun masyarakat luar, dalam pelbagai aktiviti-aktiviti ibadah khusus seperti solat berjemaah, ibadah korban, kuliah-kuliah mahupun ibadah-ibadah umum seperti muamalat, riadah dan lain-lain aktiviti bagi menjalinkan silaturrahim antara masyarakat dan jemaah semata-mata untuk mendekatkan diri dengan penuh taqwa kepada ALLAH swt. Ini bersesuaian dengan ayat 108 surah At-Taubah yang diturunkan di dalam Al-Quran Al Karim.

“Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya” (At-Taubah: 108)

Justeru itu, Masjid Baiturrahman ini akan menyediakan pelbagai fasiliti ataupun kemudahan lengkap untuk jemaah dan masyarakat setempat seperti Dewan Pelbagai Guna, Kuarters Imam dan Bilal, Bilik Tetamu, Bilik Mesyuarat, Kiosk Perniagaan, Ruang Riadah seperti Gimnasium, Bilik-Bilik Kuliah, Ruang Kanak-Kanak dan pelbagai lagi.

Dengan kedudukan yang strategik, Masjid Baiturrahman Alam Sari juga bakal menjadi satu mercu tanda untuk kawasan Alam Sari mahupun kawasan sekitar Bangi dan Kajang yang yang diharapkan akan menjadi salah satu masjid di Malaysia yang menyaksikan jemaah harian Subuhnya menyamai Solat Jumaat.

Insya Allah

Kata Aluan Penasihat

Segala kepujian bagi Allah S.W.T.
Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad S.A.W.

Muslimin dan Muslimat,

Sebaik Nabi (saw) tiba di Madinah dari Mekah, bagina memilih tapak masjid Nabawi yang dimiliki Bani An-Najjar. Sabda Baginda (saw):
“يا بني النجار، ثامنوني حائطكم هذا”
bermaksud, “Wahai ani An-Najjar, hargakan bagiku tanah ini?” Jawab mereka:
“لا والله يا رسول الله، لا نطلب ثمنة إلا من الله”
bermaksud, “Tidak sekali, demi Allah! Wahai Rasulullah, kami tidak meminta harganya melainkan dari Allah!” (Riwayat al-Bukhari).

Dengan jawapan Bani An-Najjar itu maka berlakulah waqaf masjid yang kedua dalam Islam setelah waqaf pertama berberapa hari sebelumnya di Masjid Qaba’.

Apabila orang Islam semakin ramai dan Masjid Nabawi tidak dapat lagi menampung bilangan jemaah, Nabi (saw) bersabda:
“من يشتري بقعة ال فلان فيزيدها فى المسجد بخير منها فى الجنة”
bermaksud, “Siapakah yang akan membeli sekeping tanah keluarga fulan dan menambahnya kepada Masjid Nabawi dengan balasan yang lebih baik dalam syurga?” Saidina Othman bin Affan telah mendahului para Sahabah membeli tanah tersebut dengan nilai dua puluh lima ribu dirham dan diwaqafkan bagi pembersaran Masjid Nabawi (Riwayat at-Tirmidhi dan An-Nasai’).

Demikianlah para Sahabah Nabi (saw) berlumba-lumba untuk berwaqaf. Waqaf merupakan jenis sedekah yang paling bermanfaat, afdhal dan paling tinggi ganjarannya di sisi Allah Taala. Sahabi Jabir bin Abdullah r.a berkata bahawa tiada seorang pun dari para Sahabah Nabi (saw), Muhajjirin mahupun Ansar yang ada kudrat untuk berwaqaf melainkan telah berwaqaf. Berkata Imam As-Syafie bahawa beliau telah dimaklumkan terdapat seramai 80 orang Sahabah Nabi (saw) dari kalangan Ansar yang telah berwaqaf.

Harta yang diwaqaf adalah sedekah jariah yang dinyatakan dalam Hadith riwayat Muslim:
“إذا مات العبد أنقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولدصالح يدعو له”
bermaksud, “Apabila meninggal seseorang hamba itu terputuslah amalannya melainkan tiga perkara-sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakan.”

Waqaf membina masjid dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada ummat sejagat dan masyarakat setempat apabila masjid bukan sahaja menjadi pusat menunaikan solat dan ibadat, malah boleh menjadi pusat ilmu, pusat dakwah, pusat kesihatan, pusat riadah, dan pusat pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Sedekah tidak akan mengurangkan harta kita seperti sabda Nabi (saw) riwayat muslim:
“ما نقصت صدقة من مال”
yang bermaksud, “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta.”

Waqaf adalah sedekah yang paling bermanfaat, afdhal dan paling tinggi ganjarannya di sisi Allah Taala serta tidak mengurangkan harta barang kita sedikit pun.

Selamat berwaqaf!

Kata Aluan Pengerusi

Assalamualaikum W.B.T
Saya doakan semua Muslimin & Muslimat berada di bawah Rahmat dan Kasih Sayang Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya, sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, makan Allah S.W.T akan melaksanakan hajatnya dan sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang muslim, maka Allah S.W.T akan melapangkan kesukarannya si Hari Kiamat!

Adalah menjadi hajat lebih 20,000 penduduk di Alam Sari, Kajang untuk memelikit sebuah masjid sebagai pusat Ibadah berjemaah selain sebagai pusat penyatuan masyarakat. Kita sedia maklum, Masjid bukan hanya tempat untuk bersolat, tetapi fungsi masjid adalah lebih dari itu! Justeru, dengan adanya Masjid di Alam Sari, ia bakal menjadi pusat menyemai benih-benih Iman serta ketaqwaan selain ia juga akan menjadi pusat menyemarakkan semnagat persaudaraan serta kemasyarakatan di kalangan penduduk setempat.

Dikenali dengan Masjid Baiturrahman, Masjid ini bakal menjadi mercu tanda Islam di Alam Sari dan kawasan sekitarnya.

Saya ingin merafakkan kesyukuran kepada Allah dan memanjangkan ucapan terima kasih saya kepada semua yang telah bermurah hati dengan sepenuh keikhlasan menyumbang kepada Tabung Pembangunan Masjid Baiturrahman Alam Sari.

Sumbangan anda semua adalah nadi utama kepada merealisasikan pembangnan Masjid Baiturrahman ini. Kami mengharapkan sumbangan yang berterusan daripada semua pihak terutama sekali daripada Badan-badan Korporat serta Badan-badan NGO.

Sesungguhnya, inilah pelaburan akhirat yang akan kita idam-idamkan selama ini! Bayangkan pahala akan menderu-deru masuk setiap kali manusia bersujud di dalam masjid ini, setiap ayal Al-Quran yang dibaca dan dihafal serta setiap amalan kebaikan yang diamalkan oleh para jemaah, anda turut mendapat pahala selama-lamanya. Semoga sumbangan anda diberkati Allah S.W.T.

Ahli Jawatankuasa